
Alhamdulillah majlis perjumpaan dan sambutan Aidilfitri tersebut telah diadakan dengan jayanya pada hari Sabtu 09 Ogos 2014 bersamaan 13 Syawal 1435 di perkarangan Muzium Negeri Terengganu Darul Iman. Perjumpaan silaturrahim ini diadakan dengan suasana penuh mahabbah demi menambahkan lagi kecintaan terhadap baginda Rasulullah s.a.w. dengan pengisian nasihat oleh al fadhil Ustaz Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang Al-Aydrus.
Majlis yang dihadiri lebih 1000 (seribu) orang ahlul bait seluruh Terengganu dan negeri-negeri berdekatan ini diserikan lagi dengan kehadiran Presiden Asyraaf Malaysia, Y. Bhg. Prof. Dato’ Syed Omar As-Saggaf di samping Dato’ NYDP, SU Agung, Bendahari dan Ahli Jawatankuasa Asyraaf Pusat.
Majlis juga diselang-selikan dengan persembahan qasidah dan selawat oleh Kumpulan Shoutol Asyraaf Terengganu di bawah pimpinan Syed Husain Najmi bin Sayed Mohd Al Bakir. Majlis disudahi dengan penyerahan sumbangan untuk Tabung Aman Palestin, penyampaian hadiah cabutan bertuah dan penyampaian sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim dan kanak-kanak yang hadir.
Program sebelah petang pada hari yang sama diteruskan dengan Mesyuarat Agung Tahunan Asyraaf Malaysia bagi tahun 2014 dengan agenda utamanya adalah sesi pemilihan dan perlantikan AJK Asyraaf Pusat yang baharu bagi penggal 2014-2017 untuk tempoh 3 tahun selari dengan pindaan perlembagaan persatuan.
Pada keseluruhannya, majlis anjuran bersama antara Persatuan Kebajikan Asyraaf Terengganu & Persatuan Al-Amin Negeri Terengganu ini telah dilaksanakan dengan jayanya, syukur Alhamdulillah. 
