Aluan Presiden Asyraaf Malaysia

Akhwani & Akhwati…, Assalamua’laikum wrh. wbt.,

Presiden AsyraafAna bersyukur kepada Allah dengan berkat dan kurnianya, pihak Asyraaf dapat terbitkan “Buletin” ini. Ini ialah kerana Asyraaf baru saja ditubuhkan, namun dengan kebangkitan syababnya maka dapat menjalankan aktiviti dengan pesatnya termasuklah mewujudkan WEBSITE ini. Ini juga bertujuan mengingatkan kepada keluarga “Asyraaf (Ba-Alawi)” betapa pentingnya tugas serta tanggungjawab yang pernah dipikul oleh datuk nenek kita yang terdahulu untuk membuat kebajikan dan menyebarkan Islam diseluruh Nusantara ini. Kini tibalah giliran kita meneruskan usaha yang pernah dilakukan oleh mereka.

Pesanan dari ana “Berbuatlah kebaikan sepertimana Allah menjadikan kita sebaik kejadian”

Kita menubuhkan ASYRAAF ini, bukan bertujuan membanggakan keturunan atau meniup semangat perkauman atau mahu berlumba dengan sesiapa, tetapi ianya bertujuan untuk menghidupkan kembali warisan kebajikan yang pernah dilakukan oleh nenek moyang kita yang terdahulu. Kita mahu memupuk kembali Alawiyyin kita yang tercicir dalam arus kemodenan ini untuk membuat kebajikan semula.

Nenek moyang kita dahulu terkenal dengan kegigihan, kesabaran dalam apa jua keadaan dan yakin dengan taqdir Allah. Dengan sifat rendah diri, tawadduk, alim, ringan tulang dan berakhlak mulia, maka mereka disenangi oleh masyarakat. Jika ada masalah dalam kampong, masyarakat mahu mereka menyelesaikan hinggakan lembu hilang pun orang bertanyakan mereka hatta anak menangis malam pun merekalah tempat mengadu. Tidak hairanlah kalau dulu raja-raja di Tanah Melayu ini mengambil penasihatnya daripada kalangan Ba-Alawi. Maka secara rasionalnya nenek moyang kita menurut apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Mereka bukannya semua pendakwah yang berceramah di merata-rata tetapi kebanyakan mereka berdakwah melalui akhlak-akhlak yang baik selaras dengan kehendak Islam, maka masyarakat ketika itu amat mengasihi mereka. Apa jadi dengan Ba-Alawi hari ini?…. di mana nilai-nilai murni dalam berakhlak..? Ramai antara kita telah meninggalkan akhlak dan amalan Ba-Alawi, ini mengakibatkan Ba-Alawi dicemuh masyarakat dan tidak dihormati.

Kita boleh perhatikan kesan-kesan kebajikan Ba-Alawi terdahulu yang masih tersergam hingga ke hari ini seperti Madrasah Al-Junid (Singapura), Madrasah Alawiyyah (Perlis), Madrasah Al-Saggaf (Singapura), Madrasah Al-Attas (Johor), Madrasah Al-Mashor (P.Pinang) dan banyak lagi madrasah dan wakaf-wakaf lain yang mereka bina atas hasil titik peluh mereka. Dengan wujudnya madrasah tersebut, ramai ulama sudah terhasil daripada usaha kebajikan mereka. Merekalah pencetus kelahiran ulama-ulama di alam melayu ini.

Oleh sebab itu kita memerlukan suatu Persatuan bagi menghidupkan kembali warisan Ba-Alawi yang sudah terpinggir. Dengan rasa penuh keinsafan, ana menyeru para Alawiyyin sekalian, “marilah kita bersatu dibawah PERSATUAN KEBAJIKAN ASYRAAF MALAYSIA (ASYRAAF)”. Semoga usaha yang kita lakukan ini akan diredhai oleh Allah s.w.t.

Ana mohon kepada Allah supaya WEBSITE ini diberkati dan memberi manafaat kepada kita semua. Semoga Allah menjadikan usaha-usaha syabab sekalian semata-mata untuk mencari keredhaanNya di dunia dan di akhirat. Kepada Allah sebaik-baik tempat bergantung dan kepada Allah kita memohon rahmat.

Ana sudahi ucapan aluan ini dengan mengucapkan “Jazzakumullahkhairan” kepada sekalian yang memberi sokongan kepada mewujudkan Persatuan Kebajikan Asyraaf ini.

Sekian, Wassalamualaikum wrh. wbt.

Prof. Dato’ Syed Omar As-Saggaf, AMN

Presiden,

Persatuan Kebajikan Asyraaf Malaysia